Powered By Blogger

Monday 24 June 2013

Perbezaan antara pentaksiran, pengujian, penilaian dan pengukuran




Pentaksiran = Pengukuran + Penilaian
Untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid, kita boleh mengguna proses pengukuran, penilaian atau pentaksiran. Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah, persentil (peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik (questionnaire), kuiz dan senarai semak (check list).
Tanpa instrumen, ukuran diperoleh dengan cara taksiran, anggaran, agakan, ta’kulan dan pemerhatian. Sebagai analogi, kita boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang berat seorang kanak-kanak Tahun Satu di Malaysia tanpa mengguna penimbang. Begitu juga seorang guru boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang sejauh mana muridnya menguasai apa yang dipelajari, tanpa menjalankan ujian, dengan cara di atas. Walau bagaimanapun, ukuran yang diperoleh tanpa mengguna instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.
Penilaian ialah proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat itu. Misalnya, pernyataan ”Ahmad mendapat markah 90% dalam ujian Matematik, oleh itu dia adalah seorang murid yang cemerlang dalam mata pelajaran itu”, merupakan penilaian atau interpretasi tentang ukuran atau maklumat. Tidak seperti pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Perhatikan bahawa maklumat kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.
Proses penilaian berhenti setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran Sains”. Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran. Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal. Ketiga-tiga proses di atas berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.
Pengertian istilah pentaksiran atau assessment yang berasal daripada perkataan Greek ”Assidere” iaitu bermaksud ”Duduk di sisi” seperti dinyatakan di atas sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mengajar Al-Quran dalam tradisi pendidikan orang Melayu. Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan sepadu di mana sambil mengajar anaknya mengaji Quran, seorang ibu membuat pentaksiran secara tak formal kerana dia tahu adakah anaknya telah menguasai apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada anaknya perlu mengulang balik atau meningkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, si ibu akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Dalam hal ini si ibu tidak perlu pun mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi dia tetap dikatakan mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang sepadu.
Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses pengajaran-pembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.
Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.
Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.
Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada sekali (ada yang sehingga empat kali).

Thursday 20 June 2013

Pentaksiran, penilaian dan pengukuran

a)Pentaksiran
  • Suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu
  • Melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian.
  • Sebahagian daripada proses pembelajaran.
  • Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000).
  • Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor.
  • Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
b)Pengukuran
  • Proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut.
  • Suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen.
  • Menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.
  • Biasanya pengukuran diwakilkan dengan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu.
  • Misalnya,Jelita mendapat markah 80 peratus dalam ujian Bahasa Melayu. Prestasi Jelita tidak dapat dinyatakan sama ada baik atau sebaliknya.
  • Ini kerana kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai.
  • Pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.
  • Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian.
  • Pengukuran adalah menjurus kepada banyak mana skor atau markat yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.
  • Pengukuran juga tidak bersifat mutlak.
  • Ketinggian mental seseorang individu lebih sukar untuk diukur.berbanding ketinggian fizikal.
c)Penilaian
  • Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita.
  • Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan.
  • Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
  • Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara.
  • Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
  • Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
  • Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.
  • Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.
  • Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.
  • Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar.
  • Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan.
  • Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan.
  • Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.
  • Penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali.
  • Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami.
  • Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor.
  • Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.
  • Penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.
  • Dari segi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai.
  • Penilaian akan membolehkan anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya.
  • Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran dalam bahasa.
  • Terdapat benyak persoalan yang perlu diselesaikan dalam membuat penillaian seperti apakah bukti yang mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya.
d) Pengujian
  • Merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti.
  • Ujian adalah alat ukur.
  • Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan.
  • Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.
  • Ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran.
  • Tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat.
  • Pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus.
  • Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
  • Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori.
  • Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.
  • Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.
  • Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
  • Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan dikukuhkan oleh Milagros(1981) seperti yang terkandung dalam Raminah Hj.Sabran(1991). (Raminah 1991:2).
  • Proses pengujian bermula dengan peringkat persediaan, pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan.
  • Proses pengujian membolehkan guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai tahap kemahiran yang telah dipelajari.

    Rujukan
Siti Rahayah Ariffin. (2003). Teori, Konsep dan Amalan Dalam Pengukuran dan Penilaian. Pusat Pembangunan Akademik Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.