Pentaksiran = Pengukuran + Penilaian
Untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran
murid, kita boleh mengguna proses pengukuran, penilaian atau pentaksiran.
Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan
instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses
pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah
mentah, peratus markah mentah, persentil (peratusan kedudukan seseorang
berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas
boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen
atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik
(questionnaire), kuiz dan senarai semak (check list).
Tanpa instrumen, ukuran diperoleh dengan cara
taksiran, anggaran, agakan, ta’kulan dan pemerhatian. Sebagai analogi, kita
boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang berat seorang kanak-kanak Tahun
Satu di Malaysia tanpa mengguna penimbang. Begitu juga seorang guru boleh
mengetahui ukuran atau maklumat tentang sejauh mana muridnya menguasai apa yang
dipelajari, tanpa menjalankan ujian, dengan cara di atas. Walau bagaimanapun,
ukuran yang diperoleh tanpa mengguna instrumen tentunya kurang tepat dan kurang
boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang
yang mentaksir dan mengikut keadaan.
Penilaian ialah proses mendapatkan maklumat
tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada
maklumat itu. Misalnya, pernyataan ”Ahmad mendapat markah 90% dalam ujian
Matematik, oleh itu dia adalah seorang murid yang cemerlang dalam mata
pelajaran itu”, merupakan penilaian atau interpretasi tentang ukuran atau
maklumat. Tidak seperti pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian
boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Maklumat kualitatif dalam
penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian
minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Perhatikan bahawa
maklumat kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada
maklumat kuantitatif.
Proses penilaian berhenti setakat memberi nilai
atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran
Sains”. Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat,
proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan
dipanggil pentaksiran. Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai
atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara
formal atau tidak formal. Ketiga-tiga proses di atas berlaku secara timbal
balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses
pengajaran-pembelajaran.
Pengertian istilah pentaksiran atau assessment
yang berasal daripada perkataan Greek ”Assidere” iaitu bermaksud ”Duduk di
sisi” seperti dinyatakan di atas sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa
dalam mengajar Al-Quran dalam tradisi pendidikan orang Melayu. Proses
pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan sepadu
di mana sambil mengajar anaknya mengaji Quran, seorang ibu membuat pentaksiran
secara tak formal kerana dia tahu adakah anaknya telah menguasai apa yang
dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada anaknya perlu mengulang balik atau
meningkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, si ibu akan menerapkan
nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses
tersebut berjalan. Dalam hal ini si ibu tidak perlu pun mengadakan ujian atau
peperiksaan yang formal tetapi dia tetap dikatakan mendidik menggunakan proses
pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang sepadu.
Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan
pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam
proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri
ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses
pengajaran-pembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu
sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian
pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan
selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan
mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang
sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.
Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu
dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik
berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan.
Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri,
kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat
ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.
Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan
pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan
peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di
atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut
lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran
dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan
pentaksiran autentik.
Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak
belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan
kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan
guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal
ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak
lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan
untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan
peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada
sekali (ada yang sehingga empat kali).